KATEGORI - KATEGORI AYAM SERAMA

Orang selalu memperkatakan tentang AYAM SERAMA ini berpandukan kepada kategori seperti SERAMA "A" , "B" maupun "C". Ramai yang terkeliru dan ini banyak diambil kesempatan oleh para penjual SERAMA yang tidak AMANAH yang mengakui bahawa AYAM SERAMA yang mereka jual adalah dari kategori terbaik samada SERAMA "A" atau "B".

Sebenarnya kategori SERAMA "A", "B" mahupun "Z" sekalipun bukanlah satu kaedah yang tepat untuk mendefinasikan kategori AYAM SERAMA tersebut. Pembahagian kategori "A" atau "B" ini digunakan hanyalah sewaktu didalam satu satu pertandingan saja. Ianya digunakan untuk membezakan berat badan AYAM SERAMA itu saja. Malah kalau AYAM KAPAN itu sendiri pun sekiranya di "diet" kan akan melayakkannya dimasukkan kedalam kategori SERAMA "A" dimana berat yang kurang dari 360 gram. Sebab itulah kalau kita perhatikan disatu satu pertandingan tahap keupayaan AYAM SERAMA yang menduduki tempat pertama dengan AYAM SERAMA yang mendapat markah terendah adalah amat jauh sekali, lebih lebih lagi kalau pertandingan yang diadakan disebelah pantai barat ini. Ini semua berlaku kerana terdapatnya  tuan punya AYAM SERAMA yang bukan AYAM SERAMA sebenar atau TULIN turut serta dan disebabkan berat ayam mereka kurang 360 gram maka dengan sendirinya ayam tersebut layak memasuki kategori SERAMA "A".

Maka terlihatlah kita sewaktu pengadil mengadili pertandingan itu, terdapatnya ayam ayam serama yang tidak berupaya sama sekali beraksi. Samada ayam tersebut sibuk cuba turun dari atas meja pengadil atau pun ayam tersebut hanya kaku tanpa sebarang aksi, walhal ayam tersebut berada didalam ketegori SERAMA "A".

Saya rasa perkara ini harus diambil perhatian khusus oleh pihak pihak tertentu didalam menilai atau mengkategorikan ayam ayam serama yang masuk bertanding mengikut kategori sebenar dan bukannya kategori mengikut berat ayam tersebut.

Daripada pengamatan dan soal selidik yang saya lakukan AYAM SERAMA ini bolehlah kita KATEGORIkan mengikut asal usul dan cara mana baka itu dihasilkan.

Disini saya lebih bincangkan kategori AYAM SERAMA dan bukannya AYAM KAPAN, KATIK dan yang sewaktu dengannya. 

1. AYAM SERAMA BIASA / BHARA / SERAPAN :

    Terbahagi pula kepada 2 bahagian -

        1.a    SERAMA KAPAL SELAM - Jenis ini adalah jenis yang paling teruk sekali, ianya tidak berupaya langsung untuk beraksi  dan bila kita lihat ianya berjalan, keadaan badannya seolah olah seperti sebuah KAPAL SELAM .... merayap ajer !!!! Kalau dimasukkan kekategori AYAM KAPAN pun tidak boleh sebab bagi AYAM KAPAN pun ada kategorinya tersendiri. Saya tidak menggalakkan kepada peminat peminat baru untuk membeli serama dari jenis ini kerana bentuknya yang tidak menarik langsung untuk dijadikan haiwan kesayangan (PETS) ataupun untuk dijual bakanya nanti. Jenis ini sebenar adalah hasil dari kacukkan tanpa kawalan samada kacukkan SERAMA BIASA ini sendiri dengan AYAM KAPAN, KATIK ataupun AYAM HUTAN dan lebih teruk lagi kalau dengan AYAM KAMPUNG.

        1.b    SERAMA SEMI SUPER - Jenis ini adalah jenis yang paling banyak sekali dimiliki oleh peminat peminat ayam serama  terutama di Lembah Klang. Kebanyakkan rumah rumah di Lembah Klang yang mempunyai AYAM SERAMA telah saya lawati memiliki serama dari jenis ini. Dan serama jenis inilah yang paling banyak sekali mewarni setiap pertandingan serama terutama disebelah pantai barat ini. Jenis ini mempunyai bentuk badan / aksi yang agak menarik dan bagi orang yang tidak pernah melihat aksi / gaya serama tulin bergaya, sudah pasti mereka akan mengatakan ayam tersebut adalah AYAM SERAMA sebenar. Kena pulak dengan berat badannya kurang 360 gram maka teruslah dikenali dengan panggilan SERAMA "A" ...!!! Dari jenis ini jugalah kebanyakkan peminat peminat serama melatihnya untuk mendada, samada dengan cara memasukkannya didalam KOTAK I.S.A ataupun dengan cara melatih dari kecil lagi (** cara ini agak Brutal sikit !!). Memang diakui kebanyakkan dari jenis ini mempunyai warna yang amat menarik dan kebanyakkannya menyerupai SERAMA TULIN tetapi keupayaannya beraksi adalah terbatas. Bagi peminat peminat serama yang baru, saya galakkan mereka mencuba belajar membela serama dari jenis ini. Dengan harga yang berpatutan (**sepatutnyalah!!), bolehlah dipraktikkan segala ilmu serama itu pada serama jenis ini. Kalau berlaku sebarang kesilapan yang boleh  menyebabkan kematian (** minta minta tidak lah !!) tidaklah terasa ralat sangat, sebab kalau dari jenis SERAMA TULIN tu dengan harganya yang boleh mencecah menyamai harga sebiji Proton ... kalaulah dibuatnya mati, mau meraung dibuatnya...hehehe !! Bila sudah cukup ilmu didada, barulah cuba berubah kejenis serama yang lebih canggih dan mahal.

Buat pengetahuan peminat peminat serama semua, kedua - dua jenis serama ini mempunyai kaitan darah / baka yang amat dekat dengan AYAM KAPAN atau KATIK mahupun AYAM HUTAN. Contohnya : - Pada awal kacukkan adalah antara AYAM SERAMA TULIN dengan AYAM KAPAN misalnya !! Anak yang dihasil akan dikawinkan sekali lagi dengan AYAM KAPAN dan begitulah seterusnya dan ianya berlaku berulang kali dengan cara berpatah balik kebelakang. Kedua - dua jenis ini juga mempunyai nafsu makan yang amat tinggi, kalau diletakkan semangkuk penuh dedak ... jenis ini akan makan tanpa henti sehinggalah mangkuk itu kosong.

2. AYAM SERAMA SUPER :

    Terbahagi juga kepada 2 bahagian -

            2.a     SERAMA SUPER TIDAK TULIN - Jenis ini mewarisi hampir 80 % ke 90 % sifat - sifat AYAM SERAMA sebenar. Keupayaannya beraksi dengan galak sekali tidak boleh dinafikan sama sekali. Banyak juga saya dapati pertandingan pertandingan yang diadakan telah dimenangi oleh serama jenis ini tetapi sekiranya pada hari pertandingan itu turut disertai oleh AYAM SERAMA sebenar, pasti kita akan dapat membezakan kekurangannya. Bagi peminat yang tidak berapa faham ataupun kurang menitik beratkan susurgalur darah sesekor SERAMA itu, jenis ini pun sudah amat hebat sekali. SERAMA SUPER TIDAK TULIN ini ujud adalah samada hasil dari kacukkan antara jantan dan induk diantara AYAM SERAMA TULIN dengan SERAMA SEMI SUPER. Selalunya kita tidak dapat mempastikan dengan tepat akan keturunan sebenar ayam dari jenis ini ... kebanyakkannya adalah main agakkan situan punya sahaja. Tetapi kalau tuan punya sanggup melaku proses baikpulih semula, dalam masa 5 - 6 tahun ... baka asalnya akan timbul semula !! Bagi jenis ini harga seekor anak boleh tahan juga mahalnya dan kadang - kadang boleh mencecah ribuan ringgit.

            2.b     SERAMA SUPER TULIN - jenis inilah yang sebenar - benarnya yang dinamakan AYAM SERAMA. Sikap, aksi, warna dan bentuk badan jenis inilah yang dinamakan SERAMA. Kalau dilihat akan aksinya kadang - kadang sampai kita sendiri tidak percaya dimana ianya seolah olah suka dipertontonkan oleh orang ramai. Lagi kita pandang, lagi ianya akan bergaya dengan bergoyang goyang menarik kepalanya kebelakang, sambil menarik narik dadanya kedepan dan kadang kadang tu siap berpusing pusing lagi. Sesetengah baka tu pulak siap dengan mengangkat kaki sebelah ketika beraksi. Sewaktu berada didalam keadaan biasa saja pun, ayam ini sentiasa berjalan secara mendada dan bulu tengkoknya akan mencecah ekornya. Harga ??? harganya amat tinggi sekali ... bagi serama muda saja boleh mencecah belasan kepuluhan ribu ringgit !!! Tuan - tuan punya serama jenis ini akan melakukan 'special selection' terlebih dahulu bagi memilih anak - anak yang terbaik dan selebihnya barulah dijual. Bagi yang telah dipilih itu biasanya ianya tidak akan dijual sama sekali melainkan yang datang membeli itu orang yang betul betul rapat dengan situan punya serama. Bagi tuan punya serama jenis ini amat berhati hati didalam proses pembiakannya, mereka akan pastikan bahawa kedua dua serama itu dari darah yang sama tetapi bukannya dari pertalian darah adik beradik. Bagi peminat serama yang mempunyai duit yang berlebihan (banyak) .. mereka akan cuba mendapatkan baka jenis ini dari lapisan / keturunan keempat keatas. Ini adalah kerana bila sampai kelapisan keempat keatas ... baka yang dihasilkan adalah amat hebat sekali aksinya. Pembiakan SERAMA SUPER TULIN ini dilakukan dengan beberapa cara seperti :

                1. Pembiakan Dari BAKA YG SAMA  - Contoh: JANTAN / INDUK baka Darah Hijau Mat Awang. Insyaallah anak yang dihasil selalunya akan menjurus kepada bentuk dan tingkah laku bapak & induknya. Selalunya cara ini dilakukan terutama jika aksi dan bentuk tubuh si bapak memang telah terpuji.

                2. Pembiakan Dari BAKA YG BERLAINAN  - Contoh : JANTAN  baka Darah Hijau Mat Awang - INDUK baka Hussin 2000. Cara pembiakan ini dilakukan bagi mendapatkan bentuk dan aksi terbaru. Baka Darah Hijau mempunyai keistemewaan berdiri sambil mengangkat kaki sebelah sementara itu pula baka Hussin 2000 pulak mempunyai bentuk dada yg besar, jadi kalau digabungkan kedua dua baka ini maka diharap hasil yang keluar mempunyai ciri ciri kedua dua baka tersebut. Dalam erti kata lain, bagi webmaster, baka seseekor AYAM SERAMA itu amat penting sekali.

Jadi kalau kitakan SERAMA "A" "B" atau "Z" sekalipun, itu adalah hanya definasi - definasi yang digunakan semasa pertandingan. Ini dilakukan hanya untuk membezakan berat badan sesekor ayam serama tersebut tetapi bukannya untuk membezakan keupayaan, bentuk badan maupun gaya / aksi ayam itu sendiri. Webmaster harap, peminat peminat serama terutama yang baru menceburi bidang ini akan mendapat sedikit gambaran sebenar tentang kategori kategori AYAM SERAMA itu sendiri. Bagi mendapatkan keterangan lanjut bolehlah mendapatkan khidmat nasihat dari orang yang benar - benar pakar didalam bidang ayam serama ini.

 

Sekian.

 WEBMASTER - Abang D