Make your own free website on Tripod.com

KEMANA ARAH TUJU SERAMA MALAYSIA..??

Sebagai pembuka kata, saya ingin meminta maaf terlebih dahulu sekiranya susun kata saya kurang disenangi oleh pihak pihak tertentu.

Kemana Arah Tuju Serama Malaysia ..?? Persoalan ini selalu berlegar didalam fikiran saya sejak akhir - akhir ini, bila memandangkan minat rakyat Malaysia terhadap Ayam Serama ini. Kebelakangan ini dapat dilihat dengan jelas bahawa hobi membela Ayam Serama ini telah menjadi satu industri yang boleh mendatangkan keuntungan yang amat lumayan kepada beberapa induvidu. Orang ramai berduyun duyun membeli berbagai bentuk rupa Ayam Serama dan disaat inilah pihak pihak yang berkepentingan mengambil kesempatan menggaut keuntungan diatas kegilaan orang ramai terhadap Ayam Serama.

Disini saya ingin mengajak pembaca pembaca semua merenung kembali, dimanakah taraf atau "standard" Ayam Serama kita ..? Macam manakah rupa bentuk sebenar Ayam Serama itu sendiri, saya rasa sehingga saat ini belum ada lagi satu piawaian yang betul - betul boleh kita pakai bagi memperakui bahawa itulah bentuk sebenar Ayam Serama. Kalau ditanya kepada orang ramai bentuk sebenar Ayam Serama, kebanyakkan nya akan berkata ayam tersebut mestilah kecil dan ringan serta mendada, ekornya mencecah kepala, kokoknya nyaring dan pendek (tidak mendayu) ... tapi betul kah kenyataan tersebut ?? Saya pasti tidak seorang pun berani mengatakan itulah dia "standard" atau piawaian Ayam Serama sebab kalau silap-silap haribulan Ayam Bhara, Kapan malah Katik pun kalau diubahsuai serba sedikit akan menepati ciri-ciri yang dinyatakan diatas tadi walaupun tidak 100%. Bagi orang yang baru menceburi bidang ini atau yang kurang faham sudah tentulah akan tertipu.

Pada pendapat saya, sekarang ini kita mestilah perlu duduk berbincang tidak mengira dari persatuan mana sekali pun bagi mencari kata sepakat apakah "standard"/piawaian yang perlu kita gunakan. Mungkin kita boleh merujuk kepada beberapa model yang terkenal buat masa ini untuk kita jadikan rujukkan. Pihak berkuasa seperti Jabatan Haiwan Malaysia bolehlah memainkan peranan yang lebih pro aktif dalam menjayakan cita - cita ini. Apabila sudah mendapatkan kata sepakat, maka setiap peminat diMalaysia ini mestilah mematuhinya setiap peraturannya dan diharap dimasa akan datang tidak adalah lagi Ayam Bhara pun dipanggil Ayam Serama.

Contoh mudah yang boleh saya berikan (contoh ajer ni !!) ... baka Ayam Serama kepunyaan S'dara Mat Awang (K'tan), sehingga kini beliau mempunyai 3 jenis baka terpilih iaitu Darah Hijau/Merak, Darah Merah & Rinting Murai .... jadi bolehlah kita gunakan ini sebagai salah satu daripada jenis Ayam Serama. Lepas itu kita ambil pula baka dari Hussin Kijang yang lebih terkenal dengan baka 2000 beliau dan begitulah seterusnya. Pilih baka - baka yang telah diakui hebat dan iktiraf kehebatan tersebut. Cara ini samalah juga pada kes kucing maupun anjing, buat masa ini kita ada kucing Parsi, Siam dan lain lain lagi begitu juga dengan anjing ... kita ada baka Bulldog, German Sharperd dan lain lain. Kalau Bulldog dikawinkan dgn G. Sharperd maka anjing itu bukan lagi baka BD atau GS begitu jugalah Ayam Serama baka Darah Hijau kalau dikawinkan dengan baka 2000 .. kita tidak lagi boleh mengatakan ayam itu baka tulin salah satu baka tadi.

Jadi cara atau garis pandu yang jelas perlu juga ada didalam memperakui satu satu baka itu. Apabila kita sudah dapat mengenalpasti baka baka serama yang sepatutnya maka pada masa itu nanti setiap pertandingan Ayam Serama hanya akan mempertandingkan kategori baka baka tersebut saja. Pada saya itu lebih adil sebab pada masa ini berbagai jenis baka dipertandingankan bersama, hanya berat saja yang membezakannya. Setiap baka ada kelebihannya seperti baka Darah Hijau Mat Awang suka mengangkat kaki sebelah ketika sedang beraksi tetapi bagi baka 2000 Hussin Kijang pula suka memperagakan dadanya sebesar yang boleh. Kalau saya adalah pengadil pada masa itu, sudah tentulah saya akan memilih baka Darah Hijau sebab saya lebih berminat pada aksi sedemikian padahal aksi kedua dua baka tersebut mempunyai kelebihannya masing masing. Bukankah itu kurang adil bagi pemilik baka 2000 ..?

Tetapi kalau kita letakkan sesuatu kategori itu berpandukan baka ayam tersebut maka kita bolehlah membuat garis panduan yang tetap bagi setiap baka itu, jadi kalau ada yang menggatal pemilik baka 2000 nak masuk kategori baka Darah Hijau .. dia terpaksalah mengikut garis panduan pengadilan untuk baka Darah Hijau dan begitulah sebaliknya. Saya rasa ini penting bagi mengelakkan ketidak ketelusan atau mungkin kekeliruan yang terjadi didalam pertandingan - pertandingan Ayam Serama sekarang ini. Cubalah saudara -  saudara lihat didalam sebarang pertandingan Kucing Cantik .. mereka mengasingkan kucing - kucing yang masuk bertanding mengikut baka kucing tersebut, bukannya berat kucing tersebut.

Kita memang perlu melakukan sesuatu, tidak boleh lagi berdiam diri. Saya takut suatu masa nanti, kalau kita tidak menjaga kazanah ini (Ayam Serama), pihak lain (negara lain) akan menceduk baka - baka terpilih ini dan memperakui bagi pihak mereka. Jangan terkejut suatu hari nanti (kalau kita masih berdiam diri) baka Darah Hijau Mat Awang adalah Ayam Serama Amerika Syarikat ...!!! Ini bukan kata - kata kosong malah telah banyak produk atau khazanah yang asalnya dari negara kita telah di hakmilikkan oleh negara lain.

Satu langkah yang lebih praktikal mesti kita lakukan terutama pada pihak - pihak yang berwajib, sekurang - kurangnya bagi mendraf satu piawaian khas sebelum kita mengiktiraf satu - satu baka terpilih itu sebagai Ayam Serama Malaysia. Satu tindakan yang drastik juga perlu dilakukan bagi membezakan diantara Ayam Serama dengan Ayam Bhara. Ini perlu kerana sudah terlalu banyak/ramai peminat - peminat serama yang terkeliru akan berbezaan kedua dua jenis ayam ini.

Mempastikan cara terbaik dalam pembiakan sesuatu jenis baka itu juga perlu diutamakan sebab diharap dipenghujungnya nanti kalau kita mengatakan sesekor Ayam Serama itu sebagai baka Darah Hijau, maka Ayam Serama itu mestilah mempunyai ciri - ciri sebenar dari baka tersebut dan bukan bentuk rupa yang bercampuraduk.

Saya harap semua pihak yang terlibat didalam bidang ini samada di pihak berwajib seperti Jabatan Haiwan Malaysia dan juga persatuan - persatuan Ayam Serama yang banyak di Malaysia ini dapatlah memulakan langkah - langkah yang difikirkan perlu didalam untuk kita mencapai pengiktirafan dunia terhadap Ayam Serama kita. Jangan dilepaskan khazanah kita ini, hargailah dan berbanggalah kerana kita mempunyai anurgerah Tuhan yang tidak ternilai ini.

Sekian, terima kasih.

 

WEBMASTER - Abang D